Kata Aluan Pengerusi

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh kepada semua pengunjung laman blog ini khususnya seluruh penduduk-penduduk Islam di Taman Perling , Segamat, Johor dan sekitarnya . Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. berserta ahli keluarga dan para sahabat sekalian.

Terlebih dahulu saya bersyukur ke Hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya Surau Al-Hannan,Taman Perling, Segamat telah mempunyai laman  untuk dilawati oleh ahli-ahli kariah bagi mengetahui aktiviti surau, maklumat barisan AJK, program bulanan, gambar-gambar aktiviti yang telah dijalankan dan juga beberapa maklumat yang boleh dimanfaatkan melalui ‘link’ ke laman  yang berkenaan. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan yang sudi melawat laman  surau ini.

Dengan adanya laman ini, Surau Al-Hannan telah mengorak langkah setapak lagi di dalam menyebarkan maklumat dan berita berkenaan segala aktiviti surau yang telah dan akan dijalankan, di samping pengedaran buletin bulanan kepada ahli kariah. Segala cadangan yang baik  berkenaan aktiviti surau bolehlah dikirimkan melalui e-mail di laman ini supaya ianya dapat dikaji oleh JK Tadbir surau. Pandangan dan sumbangan tuan/puan amat kami hargai demi kebaikan surau kita bersama.  Segala kekurangan di dalam laman ini saya ingin memohon ampun dan maaf dan Insya’ Allah akan perbaiki kandungannya dari masa ke semasa. Ucapan terima kasih saya kepada sukarelawan dan AJK yang terlibat di dalam menjayakan laman ini.

Bagi pihak semua ahli Jawatankuasa Surau Al-Hannan ini, kami menyedari bahawa kami bukanlah barisan yang terbaik untuk menjadi pentadbir yang sempurna.  Justeru dengan rendah hati di kesempatan ini, kami memohon kerjasama semua pihak agar terus membantu kami dalam semua aspek ke arah merealisasikan visi ‘Surau Terbaik’ yang mesra kepada semua golongan: dewasa, remaja dan kanak-kanak tanpa adanya sebarang garis pemisah.  Beberapa program jangka pendek dan jangka panjang sedang diaturkan demi mencapai maksud tersebut.  

Sokongan yang ‘istiqamah’ dari semua amat diharapkan dalam memakmurkan surau kita. Maksud firman Allah SWT dalam Al-Quran, “Hanyalah yang memakmurkan rumah-rumah Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapa pun) selain daripada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” Surah At- Taubah ayat 18.

Sekian, terima kasih dan wassalam.

KASSIM BIN MISRAN
Pengerusi

No comments:

Post a Comment