Tuesday, November 25, 2014

MAJLIS KENDURI WALIMATUL URUS DI RUMAH PUAN HALIMAH BINTI MOHAMAD

22 Nov.2014 - Tuan rumah Puan Halimah dengan sukacitanya menjemput Pakat Surau Al-Hannan Taman Perling Segamat untuk bersama bergotong royong dan memeriahkan majlis perkahwinan anak beliau.



REWANG MAJLIS WALIMATUL URUS RUMAH PUAN HALIMAH BINTI MOHAMAD

21Nov.2014- Kumpulan Kariah Surau Al-Hannan Taman Perling Segamat telah dijemput untuk memeriahkan lagi majlis tersebut. Pihak kariah dengan kerjasama jiran setempat telah bekerjasama untuk menyediakan jamuan untuk majlis kenduri pada hari berikutnya.




DOA SELAMAT DAN RUNDING KERJA EN.SHARIFF BIN AHMAD

20Nov.2014 - Kariah surau Al-Hannan Taman Perling telah dijemput untuk satu majlis doa selamat dan Mesyuarat Runding Kerja di rumah En. Shariff bin Ahmad.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa selamat dan diikuti dengan mesyuarat runding kerja untuk Majlis Walimatul Urus di rumah beliau pada 29 November 2014 nanti.





Wednesday, November 19, 2014

PROGRAM BULANAN KULIAH KELUARGA SAKINAH

17 NOV 2014 - Program kuliah bulanan diteruskan lagi. Kuliah bulanan ini dianjurkan oleh pihak surau dengan bimbingan Ustaz Kamal .


Tuesday, November 4, 2014

INFO BULAN MUHARRAM



PENGENALAN MUHARRAM

MUHARAM adalah bulan pertama dalam Sistem Kalendar Islam (Hijriah). Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91).

Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan. Rasulullah s.a.w telah menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah (shahrullahi).

Sandaran yang dilakukan oleh Baginda s.a.w kepada Allah s.w.t lantaran kemuliaan dan kelebihan bulan ini kerana sesungguhnya Allah s.w.t tidak merujukkan kepadaNya melainkan oleh golongan khowas (terkhas) di kalangan makhluk - makhlukNya.

Daripada Al-Hassan Al-Basri rahimahumullah sesungguhnya Allah s.w.t telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram. Tidaklah kedapatan bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah s.w.t itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ianya dinamakan bulan Allah yang khas disebabkan besarnya kehormatannya.


SEJARAH KALENDAR ISLAM

Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saiyidina Umar Al-Khattab radhiyallahu `anhu. Ini adalah turutan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.

Ada satu riwayat lain yang mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-As'ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a minta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Maka dengan ini beliau (Umar r.a) mahukan satu kalendar / taqwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.

Di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / taqwim Islam.

Peristiwa tersebut adalah peristiwa hijrah Rasullullah saw dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Umar itu.
Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitul Muqaddis dibebaskan dari Rom dan Masjidil Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.
 

PERISTIWA PENTING
1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (Kalendar Hijriah.
10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.
Pada 10 Muharam juga telah berlaku:
·         Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
·         Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
·         Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
·         Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
·         Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
·         Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
·         Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
·         Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
·         Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
·         Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
·         Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
·         Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
·         Hari pertama Allah menciptakan alam.
·         Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
·         Hari pertama Allah menurunkan hujan.
·         Allah menjadikan 'Arasy.
·         Allah menjadikan Luh Mahfuz.
·         Allah menjadikan alam.
·         Allah menjadikan Malaikat Jibril.
·         Nabi Isa diangkat ke langit.

Antara amalan disunatkan pada bulan Muharam:
·         Berpuasa. Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun. Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.
·         Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.
·         Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3 kali
·         Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3 kali

Empat belas perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram):
·         Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
·         Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
·         Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.
·         Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
·         Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.
·         Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
·         Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
·         Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."
·         Bercelak. Fadilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.
·         Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000 kali. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.
·         Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11 kali.
·         Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
·         Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala." Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.